Blog Archive

Rabu, 3 Ogos 2011

Cerpen: Secerah Purnama Ramadan (1)


Hana menjenguk ke luar jendela kamar biliknya. Angin yang bertiup agak kuat telah menyebak langsir putih biliknya dan membuatkan matanya spontan terbuka. Langsung hilang mimpinya dibawa angin.

Dari arah jendela juga sayup-sayup terdengar zikrullah berkumandang di masjid kampusnya. Jam menunjukkan tepat 5.00 pagi. Pagi itu pagi 1 Ramadan. Hana membiarkan embun subuh menyapa wajahnya. Sahabat-sahabat serumah masih lena.

Digagahkan kaki ke bilik air, disapunya wajah dengan air yang jernih. Segar dan saat itu hilang semua rasa mengantuknya. Selesai berwuduk Hana melangkah ke bilik pertama... diketuknya sederhana, tidak kuat, khuatir menimbulkan kemarahan penghuni bilik. Setelah mendengar sahutan dari dalam, Hana beralih ke bilik kedua. Diketuk sederhana. Diam. Diketuknya kali kedua dan agak kuat. Seketika kemudian dia mendengar sahutan dari dalam. Hana tersenyum kecil dan menggeleng-gelengkan kepala. Tanda penghuni bilik sudah bangun dan mendengar ketukannya.

10 menit kemudian ahli rumahnya sudah berkumpul di meja makan. Masih bersisa 35 menit sebelum azan. Kak.Amanina, mahasiswi komunikasi yang ditua-tuakan dirumah itu mengemaskan meja untuk seisi rumah bersahur. Hana membantu menyusun pinggan dan cawan di atas meja. Juadah seadanya, nasi, telur dan sardin. Hawani, mahasiswi diploma akauntan memang terkenal dengan kerajinannya. Tubuh kecil mungilnya lincah saat didapur. Dia bagaikan chef bagi rumah apartmen kolej itu. Juadah untuk bersahur telah disediakannya sebelum seisi rumah bangun bersahur pada pagi itu.

Setelah semuanya tersedia, masing-masing khusyuk menghadap juadah. Tiada suara berbual-bual. Mungkin kantuk masih bersisa namun seisi rumah menguatkan hati untuk bersahur pada hari pertama.

"Kak.Hana... ini hari pertama, boleh lagilah nasi masuk dalam perut pukul 5.00 pagi macam ne, Tapi kalau dah masuk hari ke 5, ke 6 nanti rasanya sepi meja ne waktu sahur..." Kata Nu'ma.

Nu'ma orangnya selalu ceria. Penuh idea. Bertubuh sihat, sasa, tinggi, berkulit cerah namun berhati lembut. Nu'ma sering ketawa lepas. Sikap cerianya mewarnai seisi rumah.

"Iya Nu'ma... Kita raikan 1 Ramadan ne. Nanti dah seminggu korang tak nak bangun takkan akak nak datang bilik suap pula kan..." Hana membalas kata-kata Nu'ma. Seisi rumah hanya tersenyum meneruskan suapan dimulut. Mengejar waktu. 15 menit lagi akan masuk waktu imsak.

"Semoga Ramadan tahun ini lebih baik dari Ramadan sebelumnya..." Luah kak.Amanina. Hana melirik. Amanina hanya tersenyum. Ada memori yang tersimpan di minda. Tak mampu diluahkan. Mereka telah berjanji untuk menyimpan kisah itu dalam-dalam... Tak mungkin dibongkar lagi.

Hawani, Nu'ma, Abeer, Shafiyah, Shiba, Shakeela dan Amanina...

Mereka melihat ada cahaya pada Ramadan kali ini. Purnama Ramadan yang menyapa takkan dibiarkan berlalu tanpa peristiwa yang berbekas di hati.

Selesai bersahur, Hana mengetuai solat subuh berjemaah di bilik Amanina. Solat 2 rakaat yang diiringi solat sunnah sebelum subuh terasa mendamaikan...

****BERSAMBUNG***
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Entri Populer